Kerana aku seperti air
Aku boleh mencari jalan mudah untuk merupa diriku
Membentuk diri pada bejana yang telah sedia ada
Lalu sama seperti yang biasa
Tetapi kerana aku seperti air
Aku memilih untuk terus sebagai air
Mengalir tidak pernah berhenti
Melimpah, menyerap, menghakis, menembus
Memenuh setiap ruang yang kosong
Tanah tandus dan benih kering
Kucurahkan subur agar muncul tunas
Yang pucuknya nanti mahkota rendang
Tempat berteduh di dataran gersang
Kerana aku seperti air
Aku boleh mencari alur pendek untuk meringkaskan perjalananku
Mencari kolam kecil dan lopak yang telah sedia berlubang
Lalu bertakung tiada hasil menunggu kering masa
Tetapi kerana aku seperti air
Aku memilih untuk terus gagah mengalir
Dari pancaran anak batu di hulu belantara
Meliku, melekok, membelah dada baruh dan darat, selatan dan utara
Lantas!
Si dahaga menghirup jernih teguk yang sejuk
Si lapar mengail isi subur khazanah dada yang kaya
Tebing menyambut perahu berlabuh
Menemukan rindu dengan yang ditunggu
Kerana aku seperti air
Aku boleh memilih untuk tiada tersirat di sebalik yang tersurat
Mengalir dangkal sejengkal dari pangkal
Lalu mudah ditafsir segera, sejurus sebelum kontang terserap ke udara
Tetapi kerana aku seperti air
Aku memilih untuk menjadi lautan seribu tanda tanya
Bagi pelayar di permukaan seluas pandangan mata
Ketemulah ia ribut taufan puting beliung yang menggila.
Namun yang bestari ingin mencari makna
Akan menyelami sepi gelita dan bebal sekaki dua
Hingga sampai ke dasar selepas jerih payah dan sabar jiwa
Lantas bertemu keindahan makna, jawapan seribu satu rahsia
Riwayat aku seperti air
Di hari subur berbakti pada manusia dada tanah watan
Di hari gersang mikraj ke langit atas perintah Tuhan
Basah kering air, hanya kitaran pusingan nadi
Bumi dan langit, air terus maujud kekal menabur berbakti.
“Dan Allah menjadikan setiap haiwan itu dari air, maka ada sebahagiannya yang berjalan di atas perutnya, dan ada sebahagian yang berjalan di atas dua kaki dan sebahagian yang lain di atas empat (kaki). Allah menjadikan apa sahaja yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa di atas segala sesuatu” – An Nur : 45
0 comments:
Catat Ulasan